Sunday 23 June 2013

ANTARA KASIH DAN NAUNGAN: PENDIDIKAN ORANG ASLI DI PARLIMEN SEMBRONG KLUANG JOHOR

ANTARA KASIH DAN NAUNGAN
PENDIDIKAN  ORANG  ASLI  DI PARLIMEN  SEMBRONG  KUANG  JOHOR
DR. RAFIUDDIN AFKARI
Pensyarah Kanan
Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial
Fakulti Sains, Teknologi dan Pembanguinan Insan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

A         PENDAHULUAN
Pendidikan merupakan satu aspek penting dalam pembangunan sesebuah kaum mahupun negara. Tanpa pendidikan, sesebuah kaum atau negara tidak akan membangun. Lantaran itu, melihat dari sudut pendidikan anak-anak orang asli perlu untuk dibawa ke tengah seiring dengan pendidikan di bandar-bandar. Taraf pendidikan orang asli kian meningkat dek masa. Kesedaran ibu bapa yang berasal dari orang asli ini meningkat tatkala pembangunan yang pesat di bandar-bandar membuatkan mereka terasa ingin bersaing dengan orang luar.
Mereka juga sedar akan kepentingan pendidikan untuk generasi akan datang yang akan diwarisi oleh anak – anak mereka sendiri. Namun begitu, perkembangan pelajar orang asli agak lambat kerana mereka hanya mengharapkan sekolah yang berdekatan sahaja. Ibu bapa di rumah tidak dapat membantu banyak dalam pelajaran anak - anak kerana ibu bapa sendiri mengambil perhatian dalam hal pendidikan awal anak-anak .
Pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh kerajaan dan juga badan-badan Non-Government Organization (NGO) di perkampungan orang asli di sini nyata memberi impak tatkala berdasarkan kaji selidik yang pihak kami lakukan menunjukkan bahawa kesedaran orang asli berkaitan isu pendidikan meningkat dengan mendadak. “ Semua anak-anak sini perlu ke sekolah, belajar di sekolah. Kalau mereka tak ke sekolah, bagaimana dengan masa depan mereka? Sekarang ini, semua perlukan pelajaran. “ ujar salah seorang Tok Batin daripada salah sebuah kampung yang kami lawati .
Pendidikan membawa kepada peningkatan kesedaran pembangunan dalam sesuatu kampung. Apa yang boleh dilihat, pembangunan yang dibangunkan oleh kerajaan di bandar akan memberi kesan kepada kampung orang asli yang tahap pendidikannya meningkat. Hal ini demikian kerana pendidikan di sekolah dan juga pendedahan kepada orang luar membuatkan mereka ingin bersaing dengan lebih hebat lagi dan menginginkan kemajuan kaum mereka.

B.        STATISTIK PENDIDIKAN MASYARAKAT ORANG ASLI  (10 KAMPUNG)
Berdasarkan statistik dan kajian yang dijalankan di 10 buah kampung, ternyata bahawa masyarakat orang asli lebih tertumpu kepada pendidikan di peringkat pra sekolah dan sekolah rendah. Hal ini kerana kesedaran terhadap pendidikan awal anak-anak telah meningkat berdasarkan rajah di bawah ini.

 
 Berdasarkan Rajah 1, Kampung Sungai Peroh mempunyai ramai pelajar di peringkat pra sekolah. Manakala di Kampung Belasau dan Kampung Seri Kenangan tiada pelajar di peringkat ini. Dalam Rajah 2 pula, jumlah pelajar peringkat rendah di Kampung Pengkalan Tereh adalah yang tertinggi berbanding 9 buah kampung yang lain. Di Kampung Seri Kenangan pula, masih tiada lagi yang menuntut di peringkat rendah.

 

Rajah 1
 

Rajah 2

Bagi peringkatan sekolah menengah pula, bilangan pelajar yang menuntut di peringkat ini tidak ramai. Berdasarkan statistik, Kampung Punjut menunjukkan jumlah pelajar yang paling ramai menuntut di peringkat ini berbanding kampung lain. Kampung Air Pasir mencatatkan bilangan pelajar yang paling rendah. Manakala di Kampung Sungai Pucur, Belasau dan Kuala Sengka tiada pelajar yang menuntut di peringkat sekolah menengah.
Dalam peringkat sekolah menengah, terdapat dua orang pelajar  masyarakat orang asli yang berjaya memperoleh 7A 1B 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011. Ini membuktikan bahawa masyarakat orang asli juga mampu mencapai kejayaan seperti pelajar cemerlang yang lain.


 
Rajah 3

Dalam kajian yang dijalankan, hanya seorang sahaja yang menuntut di IPT. Pelajar tersebut berasal dari Kampung Sungai Peroh yang masih menuntut di sebuah IPT di Kedah.
Setakat ini kajian mencatatkan seramai 3 orang dari masyarakat orang asli yang telah selesai menuntut di IPT dan ia didominasi oleh pelajar perempuan. Dua daripada lepasan IPT tersebut berasal dari Kampung Pengkalan Tereh dan seorang lagi berasal dari Kampung Sri Tanjung. Ini menunjukkan bahawa masyarakat orang asli juga mampu ke menara gading menggapai kejayaan seterusnya menjadi kebanggaan masyarakatnya.


Rajah 4

  
C         CABARAN  
Pendidikan pada masa kini amat penting untuk dikuasai oleh semua lapisan masyarakat supaya negara pada masa akan datang berada di bawah pimpinan yang berpendidikan lagi berkaliber dan berdaya saing di persada antarabangsa. Banyak usaha yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan taraf pendidikan masyarakat Malaysia. Kerajaan sedar akan kadar pendidikan dalam kalangan masyarakat orang asli agak ketinggalan berbanding masyarakat lain yang hidup di bandar. Oleh itu, satu transformasi dilakukan oleh kerajaan terhadap pendidikan golongan ini supaya mereka juga seiring dengan pembangunan negara dan mampu bersaing dengan masyarakat luar. Terdapat pelbagai kerjasama antara Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk meningkatkan taraf pendidikan orang asli. Antara usaha yang diambil oleh dua jabatan ini adalah dengan penubuhan Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) untuk pendidikan pra sekolah, mengadakan kursus kesedaran untuk masyarakat orang asli dan sebagainya. Usaha – usaha yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah untuk menarik minat masyarakat orang asli terhadap pendidikan sekali gus menaikkan taraf hidup mereka setanding dengan masyarakat luar. Namun begitu, terdapat beberapa kekangan terhadap pendidikan orang asli menyebabkan orang asli pada masa kini masih jauh ketinggalan di belakang walaupun pelbagai usaha  telah diambil. Persoalannya, apakah cabaran – cabaran yang wujud apabila masyarakat orang asli menginginkan ilmu, sewaktu mereka kehausan ilmu?
            
Antara cabaran yang dihadapi oleh masyarakat orang asli pertama ialah kurangnya kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan awal anak – anak mereka. Hal ini kerana masyarakat orang asli telah terbiasa dengan kehidupan dan aktiviti seharian mereka di rumah. Masyarakat orang asli masih lagi mengamalkan konsep sara diri masih diteruskan oleh segelintir Orang Asli. Lantas itu, pendidikan formal tidak ditumpukan sepenuhnya kerana segelintir  masyarakat Orang Asli beranggapan menyara diri itu sudah mencukupi untuk menampung kehidupan seharian mereka. Oleh itu mereka fikirkan pendidikan formal tidak diperlukan untuk menampung hidup mereka kerana mereka boleh menyara diri mereka sendiri dengan menggunakan cara tersebut. Ceramah kesedaran telah dilakukan oleh agensi – agensi terbabit namun tiada sambutan yang menggalakkan dari orang asli. Kampung Belasau umpamanya, pernah diadakan ceramah kesedaran tetapi tiada sambutan dari penduduk kampung tersebut. Hanya 4 dari 51 orang jumlah penduduk yang hadir menyebabkan mereka kurang informasi terhadap pendidikan masa kini dan seterusnya membuatkan mereka tertinggal dalam arus pembangunan pendidikan negara.[1]
         
   Cabaran kedua yang dihadapi oleh masyarakat orang asli ialah kemudahan infrastruktur yang tak seberapa menyebabkan mereka sukar untuk menjalani liku - liku kehidupan  untuk menuntut ilmu. Contohnya ,bekalan elektrik, pengangkutan dan sebagainya. Di Kg Belasau tiada bangunan sekolah dibina kerana keluasan tanah tidak mencukupi untuk membina kawasan persekolahan. Seterusnya sistem pengangkutan yang kurang menyenangkan bagi pelajar pergi balik ke sekolah terutamanya bagi mereka yang bersekolah jauh dari kampung halaman.
            Ketiga, ibu bapa mengharapkan tenaga pengajar semata – mata untuk menyediakan pendidikan yang sempurna kepada anak – anak mereka. Hal ini kerana ibu bapa sendiri tidak mendapat pendidikan awal di usia muda mereka. Oleh itu, ibu bapa hanya mengharapkan guru – guru di sekolah sahaja untuk membimbing anak-anak. Di samping itu, ibu bapa dari perkampungan orang asli juga kurang bergiat aktif dalam  aktiviti di sekolah anak – anak mereka seperti menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) lantas menyebabkan ibu bapa mereka kurang mengetahui tentang perjalanan aktiviti anak – anak mereka di sekolah dan kurang pendedahan dengan dunia luar.[2]

Keempat, persekitaran juga mempengaruhi anak – anak orang asli ini untuk mendapatkan pelajaran di sekolah. Mereka telah lama terdedah dengan orang – orang yang lebih dewasa yang bekerja sendiri tanpa perlu ke sekolah. Pendedahan mereka pada dunia juga terhad lantas membuatkan mereka kurang berminat terhadap dunia pendidikan yang sepatutnya mereka tempuh ketika di umur begitu. Di samping itu, gejala sosial mempengaruhi akan persekitaran mereka ini juga dapat menjejaskan pendidikan mereka. Gejala sosial ini datangnya dari masyarakat luar ataupun warga asing seperti Indonesia, Bangladesh dan sebagainya yang bermastautin di perkampungan orang asli untuk bekerja sebagai buruh .Kebiasaannya, di perkampungan orang asli adalah bebas dari segala gejala sosial seperti kes pembuangan bayi, zina dan sebagainya.[3]
           
Kelima, Faktor kewangan merupakan salah satu cabaran kepada pendidikan orang asli untuk meneruskan perjuangan dalam arena pendidikan. Walaupun mereka dibantu oleh JAKOA umpamanya, namun bantuan yang dihulurkan itu tidaklah mencukupi untuk menampung seluruh perbelanjaan pendidikan anak – anak dan  menyebabkan hasrat murni untuk menghantar anak – anak mereka ke sekolah  hanya tinggal sebagai mimpi. Akhirnya, semangat ingin belajar terkubur begitu sahaja.[4]

D         KESAN
Masyarakat luar sering kali menganggap  masyarakat orang asli ini mundur dari segi pendidikan. Itu cuma anggapan masyarakat yang tidak pernah mendekati masyarakat orang asli ini.  Orang asli bukan ditakuk lama lagi. Itu merupakan tanggapan mereka yang pernah menjejaki perkampungan orang asli.


Masyarakat luar seperti mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia menjejaki perkampungan orang asli ini sedikit sebanyak memberi  kesedaran kepada mereka tentang pendidikan.

 Selain itu  juga, kemasukan mahasiswa ke perkampungan orang asli ini  memberi impak kepada kesedaran ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak. Pada zaman dahulu, kedua ibu bapa berasa hairan sekiranya anak mereka pergi ke sekolah.  Namun dewasa ini mereka tidak merasainya lagi akan tetapi ada hukum tidak rasmi yang membenarkan anak mereka untuk membuat keputusan sendiri sama ada ingin belajar ataupun tidak.  Hukum ini dipanggil  ‘Hukum Sayet’.[5]



Kesedaran ibu bapa ini merupakan peranan penting bagi melahirkan seorang modal insan yang berkualiti dan mengubah nasib sekeluarga. Statistik menunjukkan pendidikan awal lebih ramai berbanding pendidikan yang lain. Dengan ini kita dapat membuat kesimpulan bahawa ibubapa sudah mempunyai kesedaran penting terhadap pendidikan pada zaman globalisasi ini. Memberi pendidikan awal kepada kanak-kanak mampu memupuk modal insan yang mampu menghalang cabaran pada masa akan datang seperti kes pelacuran, ketagihan alkohol, ketagihan dadah dan lain-lain yang berkaitan dengannya.[6]  Melatih kanak-kanak dari peringkat awal  juga boleh meransang minda mereka supaya  belajar sesuatu benda baru yang boleh meningkatkan kualiti diri, masyarakat, bangsa dan negara.

Pada masa ini , statistik juga menunjukkan bahawa bilangan pelajar yang menuntut di peringkat menengah lebih kurang berbanding di peringkat rendah. Hal ini kerana terdapat segelintir remaja yang tiada kesedaran pentingnya pendidikan, justeru itu mereka tidak mampu meneruskan pembelajaran di peringkat seterusnya. Selain itu, perhatian ibu bapa terhadap pendidikan anak mereka semakin kurang diberi perhatian. Hal ini disebabkan hukum Sayet yang membenarkan anak membuat keputusan sendiri. Seramai 36 orang pelajar yang menuntut di peringkat menengah bagi  10 buah kampung masyarakat orang asli. Pelajar-pelajar yang kini menuntut di peringkat menengah sebenarnya sudah mempunyai kesedaran terhadap pendidikan dan mereka ingin mengubah corak kehidupan mereka.



Setiap pelajar tingkatan 5 yang menduduki peperikasaan Sijil Pelajaran Malaysia berusaha gigih untung mendapat keputusan yang cemerlang dalam  peperiksaan tersebut, akan tetapi tidak mustahil mereka tidak mendapat keputusan cemerlang. Ini mungkin disebabkan factor-faktor kecuaian ketika menjawab. Perkara seperti ini boleh dielakkan sekiranya berhati-hati.  Jantung  berdegup kencang di saat  setiap pelajar menanti  tarikh keputusan peperiksaan yang tinggal beberapa hari lagi untuk dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia(LPM). Apabila sudah sampai waktu yang dinanti-nantikan, ada segelintir pelajar akan duduk kesepian meratapi slip peperiksaan mereka. Mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan merasa perngorbanan masa lalu amat berbaloi. Perkara ini merupa kan lumrah kehidupan seorang pelajar tidak kira dari semua bangsa termasuklah masyarakat orang asli. Bagi mereka yang mendapat keputusan cemerlang akan menyambung pelajaran di IPT.

Menuntut di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) adalah sesuatu yang membanggakan dalam sesebuah keluarga. Masyarakat orang asli Parlimen Sembrong  juga tidak kurang hebatnya kerana terdapat wakil dari kalangan mereka yang masih menuntut dan ada juga yang telah menamatkan pengajian dengan cemerlang. Walaupun jumlah pelajar orang asli yang sedang menuntut dan lepasan IPT tidak ramai, mereka tidak pernah mensia-siakan usaha gigih mereka. Malah mereka membantu generasi baru dengan memberi suntikan semangat kepada mereka walaupun usaha tersebut kecil mata memandang tetapi nilai dan pengajarannya besar buat generasi yang akan datang. Hal ini menunjukkan bahawa semangat ingin menggapai kejayaan hingga ke menara gading dapat dikongsi bersama dan menjadi ikutan para anak muda di perkampungan masyarakat orang asli masa kini. Seterusnya menjana prestasi pendidikan dalam masyarakat orang asli. Selain itu mahasiswa di kalangan orang asli ini menjadi ‘role model’ kepada masyarakat mereka. Sedikit sebanyak mampu meningkatkan kegigihan mereka untuk  tekun belajar dan mencapai keputusan yang cemerlang.  

Pada era globalisasi ini, tanggapan yang sinis kepada golongan yang tidak mempunyai pendidikan tinggi ini terlampau banyak. Sebenarnya tanggapan mereka ini merupakan tanggapan manusia minda ketiga. Setiap ciptaan mempunyai kelebihan dan kelemahan. Kadangkala kelebihan seseorang itu tidak terdapat dalam bidang akademik, mereka lebih berkebolehan dalam bidang kemahiran. Masa kini bidang kemahiran mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran pekerjaan dewasa ini. Hal ini dapat dibuktikan dalam sektor industri dan memerlukan tenaga kerja yang mahir dari aspek kemahiran. Dengan ini kerajaan menaiktaraf Pendidikan Teknik dan Vokasional. Seterusnya pertukaran sekolah vokasional kepada kolej vokasional telah membuktikan transformasi pendidikan negara. Masyarakat orang asli tidak dikecualikan untuk melibatkan diri dalam transformasi pendidikan ini. Seperti sedia maklum, golongan orang asli ini merupakan antara golongan yang kurang berminat dalam akademik, akan tetapi mereka berkebolehan dalam bidang kemahiran.


            Oleh itu, kerajaan menubuhkan  Giatmara yang merupakan Institut Pendidikan Mara. Institut ini menekan pembelajaran dari segi kemahiran. Apa yang kita sedia maklum teori yang diajar di IPT  sebanyak 70 peratus  dan pratikal sebanyak 30 peratus. Manakala di Giatmara amat berbeza sekali, mereka menekan pratikal daripada teori. Di Malaysia terdapat banyak cawangan Giatmara dan salah satu daripadanya merupakan Giatmara yang dikhususkan untuk Orang Asli. Sehubungan dengan itu, kita dapat membuktikan bahawa orang asli tidak juga ketinggalan dalam bidang kemahiran. Oleh itu kita tidak boleh berangapan bahawa orang asli tidak mempunyai kemahiran. Dapat dibuktikan di sini ialah wujudnya sebuah bengkel membaiki kereta di kampong Sedohok, Parlimen Sembrong. Ini memberi impak yang positif kepada masyarakat orang asli dan memberi satu peningkatan ekonomi kepada pemilik bengkel. Selain itu, ia boleh menjadi tauladan atau batu lonjatan kepada masyarakat untuk membuat anjakan paradigma untuk mengubah ekonomi keluarga meraka dan sekiranya masyarakat disana mengikut jejak langkah ini, harapan kerajaan untuk membasmi kemiskinan akan tercapai. 

             Pendidikan sukan tidak asing lagi dengan masyarakat dewasa kini. Subjek Pendidikan Jasmani dan Kesihatan merupa satu medium sukan di sekolah. Subjek ini juga turut diajar di sekolah yang terletak di perkampungan orang asli. Dengan wujudnya subjek ini para pelajar dapat mempelajari pelbagai sukan. Selain itu mereka dapat mengurangkan tekanan pembelajaran di dalam kelas.  Selain itu, apabila subjek ini diwujudkan bakat-bakat yang tersedia ada didalam diri para pelajar dapat dicungkil serta diasah sehingga menjadi seorang atlet yang berjaya. Dewasa ini sukan renang kurang di pelopori oleh pelajar akan tetapi sekolah-sekolah yang terdpat di perkampungan orang asli seperti Sekolah Rendah Sedohok dan Sekolah Rendah Pengkalan Tereh telah mewujudkan sukan renang ini. Dua sekolah yang berada di Parlimen Sembrong ini telah mengambil langkah proaktif untuk mengasah bakat para pelajar mereka. Para pelajar dari kalangan orang asli ini sudah mahir berenang tetapi mereka tidak mengetahui teknik-teknik berenang, justeru itu pihak sekolah telah melatih para pelajar mereka dengan teknik-teknik berenang yang sedia ada. Percapaian dari sukan renang dalam kalangan orang asli ini amat memberangsangkan. Ini dibuktikan dalam MSSM daerah Kluang. Kedua-dua sekolah ini telah melopori  Sukan renang peringkat Sekolah daerah Kluang. Dengan ini nama masyarakat orang asli akan meningkat naik dalam arena sukan renang. Pada masa akan datang, kemungkinan besar sukan ini dipelopori oleh masyarakat orang asli.

E         PERANAN DAN PERHATIAN KERAJAAN

Sebahagian daripada perkampungan masyarakat Orang Asli di bawah Parlimen Sembrong Kluang terletak berhampiran dengan bandar iaitu kira-kira 30 minit. Manakala,sebahagian pula terletak berjauhan dengan bandar. Walaupun jauh dari bandar, perkampungan masyarakat Orang Asli ini berdekatan dengan pekan kecil yang wujud di sekitar perkampungan tersebut. Kemudahan harian masyarakat Orang Asli boleh diperolehi di pekan yang berhampiran. Memandangkan jarak antara bandar dan perkampungan masyarakat Orang Asli yang jauh, pihak kerajaan telah menyediakan kemudahan sistem pengangkutan bagi memudahkan pergerakan dari kampung ke bandar. Pihak kerajaan seperti Pejabat Daerah Kluang telah menyediakan jalan tar dalam beberapa kampung. Antaranya Kampung Pengkalan Tereh yang disediakan pada tahun 2002 dan diperbaharui pada tahun 2004. Seterusnya, di Kampung Sri Tanjung juga mendapat bantuan kerajaan yang sama pada tahun 2003. Pada tahun 2004 pula,Kampung Sedohok menerima bantuan jalan tar dari pihak Pejabat Daerah Kluang. Selain itu,Kampung Sungai Peroh dan Kampung Punjut turut menerima bantuan dari pihak yang sama pada tahun 2005. Manakala, Kampung Air Pasir dan Kampung Kuala Sengka pula menerima bantuan jalan tar dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) pada tahun 2005.[7]
            Dengan adanya kemudahan jalan tar dalam kampung, para pelajar dan para guru di perkampungan masyarakat Orang Asli  mendapat keselesaan dari aspek pengangkutan terutamanya para pelajar yang menuntut di sekolah menengah di bandar. Bagi pelajar pra sekolah dan sekolah rendah pula, tidak menjadi masalah bagi mereka. Hal ini kerana, sekolah rendah dan tabika terdapat hampir di setiap kampung. Sesungguhnya pihak kerajaan tidak mengabaikan keperluan pendidikan masyarakat Orang Asli supaya golongan ini tidak ketinggalan dalam arus kemajuan pendidikan. Di Kampung Punjut, pihak JHEOA telah membina kemudahan bangunan Tabika pada tahun 1998. Manakala,Kampung Air Pasir menerima kemudahan yang sama dari KEMAS pada tahun 1999. Pada tahun 2002 pula, bangunan Tabika KEMAS mula dibuka untuk pelajar pra sekolah di Kampung Sungai Peroh.  Pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran Malaysia juga turut tidak ketinggalan dalam menyediakan kemudahan pendidikan, Sekolah Kebangsaan Rendah di Kampung Sedohok pada tahun 2001. Pada tahun 2004 pula, bangunan Tabika KEMAS telah diwujudkan di kampung yang sama.[8]
            Dari aspek tenaga pengajar pula, kemudahan ditekankan dari segi rumah kediaman guru dan pengangkutan guru ke sekolah. Hal ini penting demi memberikan keselesaan dalam menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran antara guru dan juga pelajar masyarakat Orang Asli. Rumah guru tabika telah dibina oleh pihak JHEOA di Kampung Sungai Peroh dan Kampung Punjut pada tahun 1998. Di Kampung Air Pasir pula, rumah guru tabika telah dibangunkan pada tahun 1999 oleh JHEOA. Kampung Pengkalan Tereh pula mendapat kemudahan rumah guru tabika pada tahun 2002 dari pihak JHEOA. Sebelum mereka bergelar guru di perkampungan Orang Asli tersebut, mereka telah dihantar untuk menjalani kursus intensif bagi membiasakan mereka dengan persekitaran dan kehidupan masyarakat Orang Asli. Selain tenaga pengajar dari luar, golongan masyarakat Orang Asli yang berkelayakan turut dipanggil untuk berkhidmat di sekolah-sekolah perkampungan yang ada. Hasil temubual dengan Tok Batin Halim dari Kampung Sedohok, beliau mengatakan bahawa pendekatan pendidikan melalui masyarakat Orang Asli itu sendiri lebih memudahkan dari aspek penyampaian ilmu secara komunikasi dua hala. Hal ini penting kerana penerimaan seseorang pelajar bergantung kepada cara pengajaran pendidiknya.[9]
            Sesi pembelajaran dan pengajaran tidak berjalan dengan lancar sekiranya kemudahan asas tidak mencukupi. Hal ini kerana kemudahan asas seperti air dan elektrik merupakan elemen penting dalam hidup bermasyarakat. Kemudahan air yang diperolehi telah mempengaruhi kesihatan masyarakat Orang Asli khususnya para pelajar dan juga guru. Kebanyakan sumber air yang digunakan untuk kegunaan domestik datang dari perigi dan sungai yang berdekatan. Hal ini sedikit sebanyak agak membimbangkan kerana rata-rata punca air tersebut tidak terjamin dari aspek kebersihan. Oleh yang demikian, pihak kerajaan telah mengambil inisiatif untuk menyalurkan bekalan air bersih kepada beberapa perkampungan masyarakat Orang Asli yang berdekatan dengan bandar. Antara kawasan yang mendapat bekalan air bersih dari Syarikat Air Johor (SAJ) iaitu Kampung Punjut, Kampung Pengkalan Tereh, Kampung Sri Tanjung dan Kampung Seri Kenangan. Manakala, Kampung Sedohok dibekalkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW).  Sesi pembelajaran dan pengajaran pada dewasa ini banyak mengaplikasikan penggunaan perkakas elektrik sebagai medium. Hal ini mampu merealisasikan impian kerajaan dalam meningkatkan taraf pendidikan negara melalui penggunaan kemudahan seperti komputer riba dan projektor di sekolah-sekolah. Selain itu,mampu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat kepada para pelajar serta guru. Oleh itu, beberapa pihak telah berganding bahu dalam menyalurkan bekalan elektrik kepada perkampungan masyarakat Orang Asli bak kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kampung Sungai Pucur telah mendapat bekalan elektrik berbentuk generator dari JHEOA. Manakala, Kampung Sungai Peroh dan  Kampung Berasau mendapat bekalan elektrik berbentuk solar dari pihak KKLBW dan perkampungan selebihnya dibekalkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Persekitaran semasa sesi pembelajaran dan pengajaran memainkan peranan penting untuk mewujudkan suasana yang kondusif. Kita sedia maklum persekitaran yang kondusif mampu menjana prestasi yang cemerlang seseorang pelajar. Oleh yang sedemikian, pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyediakan sekolah rendah berasrama bagi kesenangan para pelajar. Sesebuah sekolah seperti di Kampung Pengkalan Tereh dan Kampung Sedohok merupakan sekolah yang menggabungkan para pelajar dari beberapa buah kampung yang berdekatan. Hal ini bukan sahaja membantu para guru dalam menjalankan pemantauan terhadap pendidikan pelajar malah memudahkan para ibu bapa kerana mereka sudah tidak perlu lagi berulang-alik untuk menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah. Selalunya, anak-anak mereka yang tinggal di asrama akan pulang ke rumah pada hujung minggu. Keselesaan dari segi pengangkutan juga diberi perhatian apabila van disediakan untuk mengambil para pelajar dari kampung-kampung yang jauh.[10]
Iltizam negara dalam membangunkan masyarakat Orang Asli menerusi pendidikan semakin terserlah apabila peluang yang menjuruskan kepada memajukan taraf pendidikan mereka semakin meluas. Antara peluang yang ditawarkan oleh kerajaan iaitu tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat pra-diploma UiTM di bawah Program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB). Program ini ditawarkan kepada pelajar Orang Asli yang memenuhi syarat am universiti serta syarat khas universiti. Syarat-syarat yang dikehendaki ini bersesuaian dengan pencapaian akademik bagi masyarakat Orang Asli. Hal ini jelas menunjukkan kerajaan tidak melupakan masyarakat Orang Asli dan mereka harus dibawa bersama dalam membangunkan agenda negara.
Usaha dalam memacu negara ke arah kemajuan seringkali dikaitkan dengan peningkatan taraf pendidikan. Bagi negara yang sedang membangun, tenaga belia amat diperlukan. Mereka bukan sahaja pewaris tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang malah mereka juga merupakan landasan utama untuk negara melakukan anjakan paradigma ke arah negara maju yang setanding dengan negara dunia pertama. Masyarakat Orang Asli turut tidak dikecualikan oleh pihak kerajaan dalam membangunkan pendidikan negara justeru kita tidak boleh sewenang-wenangnya beranggapan bahawa masyarakat Orang Asli ketinggalan dalam pendidikan negara. Hal ini jelas terbukti dengan penawaran untuk melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) Luar Negara tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi pelajar cemerlang Orang Asli. Walaupun kebanyakan sekolah di petempatan Orang Asli masih dalam keadaan daif dari aspek tenaga pengajar,kurikulum dan pembangunan prasarana namun perkara ini tidak menghalang masyarakat Orang Asli mencapai kejayaan dalam pendidikan. Menurut  Tok Batin Ogeh, 98 tahun,  yang merupakan pemimpin masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Peroh, mengatakan bahawa terdapat seorang ahli masyarakat dan juga merupakan anak saudaranya yang sedang menuntut di IPT di Kedah. Perkara ini jelas membuktikan kesediaan dan keterbukaan masyarakat minoriti ini dalam mendukung cita-cita negara walaupun yang berjaya itu tidak banyak dari segi kuantiti.

Bagi mempelbagaikan pengetahuan yang sedia ada, pihak kerajaan telah menyediakan  pendidikan dalam bidang kemahiran yang terbuka kepada semua golongan termasuk golongan masyarakat Orang Asli. Pendidikan ini diwujudkan bagi menbantu golongan lepasan sekolah yang tidak mampu untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya kerana masalah kewangan dan juga kurang minat untuk belajar ataupun lebih berminat untuk bekerja tetapi tiada kemahiran dalam bidang-bidang tertentu.  Para pelajar lepasan dari masyarakat Orang Asli yang tidak mampu meneruskan pengajian di sekolah menengah dan institusi-institusi pengajian tinggi dapat merebut peluang kerjaya menerusi pendidikan kemahiran ini. Badan kerajaan seperti MARA telah menubuhkan institusi pendidikan MARA iaitu Giatmara untuk membantu  masyarakat Orang Asli selain membantu masyarakat luar. Melalui institusi ini, pelbagai bidang kemahiran telah ditawarkan. Misalnya, di Giatmara Damansara Damai Selangor membuka peluang khusus kepada masyarakat Orang Asli sahaja untuk mendapat pendidikan kemahiran dalam bidang Teknologi Automotif, Teknologi Baikpulih dan Mengecat Kenderaan serta Teknologi Motosikal. Selepas menamatkan kursus, para peserta ditawarkan untuk menyertai bengkel inkubulator. Bengkel inkubulator ini merupakan pendedahan awal kepada dunia perniagaan dan juga bidang kerjaya kepada para peserta. Perjalanan bengkel ini adalah selama 6 bulan dan peserta dibayar elaun sebanyak RM1200. Pihak MARA memudahkan urusan pinjaman dari segi kewangan sekiranya mereka ingin membuka sesuatu perniagaan. Menurut pemimpin masyarakat Orang Asli Kampung Sedohok, terdapat segelintir penduduk yang bergiat aktif dalam membuka perusahaan bengkel automotif. Intihanya, pendidikan kemahiran yang seperti ini bukan sahaja mampu meningkatkan taraf hidup mereka namun juga membuka peluang kepada mereka untuk turut serta menyumbang inovasi kepada masyarakat dan negara  dalam bidang yang diceburi.

F          SOLUSI
Setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Jadi , pihak kami mempunyai beberapa cadangan untuk mengatasi beberapa cabaran yang dihadapi. Cabaran – cabaran ini dihadapi oleh orang asli dalam kehidupan seharian juga dalam merealisasikan impian anak-anak untuk mendapatkan pelajaran.

Pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) perlu mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa akan pentingnya pendidikan kepada anak – anak. Pendidikan yang akan menentukan masa depan serta hala tuju orang asli pada masa hadapan. Sesungguhnya peredaran masa memerlukan setiap masyarakat di muka bumi ini mempunyai ilmu yang cukup untuk menjalani kehidupan seharian. Tanpa pendidikan, orang asli kemungkinan ditindas oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab. Kemungkinan mereka akan ditipu malah tanah juga tergadai. Tiada siapa lagi boleh membantu andai perjanjian telah ditandatangani secara sah di sisi undang-undang oleh mereka. Faktor persekitaran juga akan berubah dengan meningkatnya kesedaran penduduk orang asli untuk berubah menjadi lebih baik dan memperbaiki corak kehidupan mereka.

Infrastruktur yang tidak lengkap di kediaman orang asli ini sedikit sebanyak memberi impak akan pendidikan anak-anak. Jadi, bagi masalah ini, penyelesaian seperti penurapan jalan akan lebih memudahkan mereka bergerak ke sekolah dalam keadaan yang selesa. Bukan sahaja kepada pihak kerajaan, malah kepada rakyat Malaysia yang sesungguhnya memang terkenal dengan sifat dermawan, boleh memberi bantuan kepada kampung-kampung yang masih lagi menggunakan jalan tanah merah. Tatkala hujan membasahi bumi, fikirlah kita, betapa susahnya mereka untuk keluar ke pekan untuk ke sekolah dengan keadaan jalan yang sukar untuk dilalui oleh kenderaan biasa seperti motor dan kereta.

Berdasarkan pemerhatian, ibu bapa daripada keluarga orang asli ini tidak berminat untuk bergiat aktif  dalam PIBG sekolah anak-anak mereka.  Berkemungkinan mereka tidak tahu ataupun sibuk dengan urusan masing-masing untuk mencari rezeki kerana seperti yang kita tahu kebanyakan daripada mereka ini masih mengamalkan sara diri. Jadi, saranan kepada pihak sekolah khususnya pihak PIBG untuk mengajak ibu bapa orang asli ini supaya lebih dekat dengan sekolah . Contohnya, adakan aktiviti yang melibatkan mereka untuk ke sekolah yang bakal menarik minat untuk mereka bersama-sama dengan pihak sekolah melalui PIBG bagi meningkatkan lagi nama sekolah serta prestasi anak – anak. Natijahnya, kesedaran ibu bapa akan meningkat juga perhubungan mereka dengan dunia luar akan lebih baik malah bakal memberikan impak kepada pembangunan perkampungan orang asli itu sendiri.
Kewangan merupakan salah satu faktor kepada pendidikan orang asli. Walaupun banyak bantuan diberikan oleh kerajaan, namun bantuan ini masih belum cukup. Peruntukan tambahan diperlukan daripada setiap pihak khususnya kerajaan ataupun pihak-pihak tertentu terutama kepada pelajar yang menyambung pelajaran ke peringkat menengah. Hal ini kerana jarak antara rumah mereka dengan sekolah agak jauh dan kesukaran dalam berkomunikasi membataskan lag perhubungan dengan ibu bapa. Skim makanan tambahan yang diberikan kepada anak-anak orang asli juga banyak membantu pelajar dalam menjimatkan penggunaan wang harian.

Oleh itu, semua pihak harus menggembleng tenaga menuju ke Wawasan 2020 bersama-sama dengan setiap golongan masyarakat termasuklah orang asli. Mereka agak lambat membangun dan kita yang perlu membantu golongan ini. Kerajaan telah banyak membantu tetapi kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu membantu orang asli untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat Malaysia yang lain.




[1] Hasil Temubual pelajar-pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama tokoh masyarakat Tok Batin Kampong Sedohok  Halim di bawah ahli Parlamen Sembrong Kluang Johor.
[2] Hasil Survei dan kajian kes dilapangan bersama pelajar pelajar, pensyarah dan kumpulan penyelidik  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan  tokoh masyarakat Tok Batin ALAN Kampong Punyut  di bawah ahli Parlamen Sembrong Kluang Johor.
[3] Hasil hipotesis awal mendapati bahawa persekitaran amat berpengaruh besar terhadap minat pelajar orang asli untuk melanjutkan pendidikan ke peringkat universiti. Hal ini terbukti dari hasil survey di lapangan dari Sembilan kampung orang asli bahawa pelajar orang asli hanya seorang sahaja yang melanjutkan pengajian ke peringkat  universiti. Perbualan ini dirakamkan bersama Tok batin OGEH Kampung Sungai Peroh Kluang, Johor.
[4] Hasil Perbincangan pelajar-pelajar dan kumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama tokoh masyarakat Tok Batin  Ogeh Kampong Sungai Peron di bawah ahli Parlamen Sembrong Kluang Johor
[5] Hasil Kajian lapangan pelajar-pelajar, penyelidik dan pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama tokoh masyarakat Tok Batin Halim Kampong Sedohok  di bawah ahli Parlimen Sembrong Kluang Johor.
[6] Hasil Perbincangan pelajar-pelajar, pensyarah dan kumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama tokoh masyarakat Tok Batin  SADIN Kampong Air Pasir Kluang di bawah ahli Parlamen Sembrong Kluang Johor
[7] Hasil Survei dan kajian kes dilapangan bersama pelajar pelajar, pensyarah dan kumpulan penyelidik  Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan  tokoh masyarakat Tok Batin ALAN Kampong Punyut  di bawah ahli Parlamen Sembrong Kluang Johor.
[8] Hasil perbincangan pelajar-pelajar, pensyarah dan kumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama tokoh masyarakat Tok Batin SIDON Kampung Kuala Sengka Kluang di bawah ahli Parlimen Sembrong Kluang Johor.
[9] Hasil perbincangan pelajar-pelajar, pensyarah dan kumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama tokoh masyarakat Tok Batin JAIS Kampung Sri Tanjung di bawah ahli Parlimen Sembrong Kluang Johor.
[10] Hasil perbincangan pelajar-pelajar, pensyarah dan kumpulan penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bersama tokoh masyarakat Tok Batin SIDON Kampung Kuala Sengka Kluang di bawah ahli Parlimen Sembrong Kluang Johor.

Wednesday 12 June 2013

AMAR MAKRUF NAHIL MUNKAR



HIMPUNAN  KHUTBAH JUMAAT
OLEH:
DR. RAFIUDDIN AFKARI HJ. ABDUL FATTAH
TAJUK: AMAR MAKRUF NAHIL MNKAR

            الْحَمْدُ للهِ الَّذِيْ هَدَانَا لِهَذَا وَمَا كُنَّا لِنَهْتَدِيَ لَوْ لاَ أَنْ هَدَانَا الله.  أَشْهَدُ أَنْ لاَ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَه، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُه،   اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَىْ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ‌ۖ إِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ .أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُؤْمِنُوْنَ،  إِتَّقُوْا اللهَ، أُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسۡلِمُونَ

Sidang Jumaat yang dimuliakan oleh Allah,

Bertaqwalah kita kepada Allah s.w.t. Marilah tingkatkan iman dan taqwa padaNya dengan kita mengerjakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang. Semoga Allah s.w.t melimpahkan kurnia dan kasih sayang dalam usaha menyeru kepada kebaikan dan melarang pada perbuatan yang munkar.

Dalam surah Luqman, segera setelah menerangkan makna hikmah, Allah s.w.t. mengenalkan Luqman sebagai manusia yang telah menerima hikmah dari-Nya. Allah s.w.t. mnegaskan manusia adalah hakim (bijak) seperti inilah yang kemudian mewasiatkan pesan-pesan bijak kepada anaknya melalui ucapannya: “Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan makruf (yang baik) dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang munkar dan bersabarlah atas segala yang menimpa kamu sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah”. (Qs Lukman:17)
.
Yang dimaksudkan makruf adalah sesuatu yang direstui oleh akal dan atau agama (Qur’an dan Hadits). Sebaliknya munkar, iaitu apa-apa yang dilarang dan ditolak menurut akal dan atau agama. Luqman berkata: “Tegakkanlah amar makruf nahi munkar”. Lalu beliau menekankan bahawa dalam menegakkan kewajipan itu diperlukan niat dan semangat secara berjemaah, kerana kita akan menghadapi cabaran dan kesusahan untuk itu kita harus selalu menanamkan kesabaran. Adapun maksud dari azmil umuur (perkara yang ditetapkan) ialah perkara yang harus dilapisi itikad yang kuat dan tekad yang bulat.

Sidang Solat Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t

Masyarakat yang baik ialah masyarakat maju, bertamadun, subur dengan suasana aman bahagia, terjalin ikatan mesra dan bersatu padu yang berasaskan akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Tentu sekali masyarakat ini akan sentiasa menerima cucuran rahmat, perlindungan Allah serta melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Beginilah masyarakat yang dibina oleh Rasulullah SAW di Madinah, padahal masyarakatnya terdiri daripada pelbagai rupa bangsa, aliran kepercayaan dan darjat, namun mereka dapat hidup dalam suasana penuh kekeluargaan.

Amar makruf nahi munkar bukanlah kewajiban khusus untuk kalangan masyarakat, karena kewajipan khusus mereka adalah mengusahakan pembinaan dan pembersihan jiwa. Amar makruf nahi munkar bukan kewajipan utama lingkungan akademik, sebab kewajipan khas mereka ialah mengusahakan
peningkatan kualitas pengajaran dan pendidikan. Ia juga bukan tugas utama kerajaan, karena amanah besar yang harus mereka buktikan ialah bagaimana meningkatkan kualitas pendidikan generasi muda bangsa. Sesungguhnya amar makruf nahi munkar merupakan kewajiban sosial. Untuk itu, jelas diperlukan kebulatan tekad segenap komponen bangsa.

Jemaah Solat Jumaat yang dimuliakan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Tidak seorangpun di dalam masyarakat Islam dibenarkan lari dari tanggungjawap yang harus ia pikul”, sehingga dengan sesukanya ia mengatakan: “Apa urusannya denganku?”, atau hendak merusak tanggung jawap orang lain dengan mengatakan: "Apa urusannya denganmu?", atau membela diri bahawa "Bukankah aku bermaksiat dengan hartaku sendiri, dan aku sendiri yang kelak akan menanggung segala resiko buruk dan balasan siksa”.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. hendak menegaskan bahawa tanggung jawap secara berjemaah itu ada karana manusia membawa sisi sosial. Kalaulah pembuktian keberadaan entitas sosial itu tidak mudah, tapi sisi sosial yang terdapat pada setiap orang bisa dengan mudah dipastikan. Kerana manusia, selain memiliki nilai egoism dan juga memiliki rase dan deria sosial. Dari sinilah dapat kita ketahui bahawa manusia selalu tergantung pada selainnya.

Mengapa masyarakat pada zaman Rasulullah SAW boleh hidup dalam keadaan perpaduan yang utuh dan kukuh serta aman makmur?

Bila diteliti helaian sirah Baginda, antara rahsianya ialah kerana Rasulullah SAW serta sahabat dan seluruh anggota masyarakatnya menegakkan amar makruf nahi mungkar (menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat mungkar) di tengah-tengah masyarakat.
Jemaah Solat Jumaat yang dirahmati oleh Allah,
Sidang Jumaat yang dimuliakan oleh Allah,

Masyarakat Islam masa kini seharusnya mencontohi apa yang dipraktikkan Rasulullah SAW pada masa silam dalam membangun masyarakat harmoni yang tinggi nilai akhlaknya serta perpaduan mengagumkan. Dengan ini syiar Islam mampu berada di puncak kegemilangannya dan syariat Islam dengan mudah pula dapat ditegakkan. Tidak dapat dinafikan lagi, Islam amat menitikberatkan kedamaian dan perpaduan masyarakat serta membenci perbalahan atau perpecahan. Lantaran itu, Islam menghulurkan tanggungjawab kepada setiap anggota masyarakat supaya menghidupkan amar makruf nahi mungkar kerana manfaatnya kepada kehidupan umat Islam yang sejahtera. Hal ini sesuai dengan firman Allah S.W.T

يَـٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأۡمُرۡ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَٱنۡهَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَٱصۡبِرۡ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَ‌ۖ إِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ
Bermaksud:
 “Perintahlah orang lain supaya berbuat baik dan laranglah ia daripada berbuat jahat, serta bersabarlah terhadap cubaan yang menimpamu.” (Surah Luqman, ayat 17)

Berdasarkan maksud ayat itu, Allah dengan nada tegas mengarahkan setiap orang Islam supaya menjalankan tugas dakwah dengan penuh keinsafan dan keimanan, walaupun nanti memang tidak dapat lari daripada merempuh segala macam halangan. Ini tentunya memerlukan semangat, pengorbanan dan kesabaran tinggi. Bila tugas dakwah dijalankan seperti sepatutnya, maka akan lahirlah satu umat yang terpuji di sisi Allah.

Firman Allah S.W.T.
كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنڪَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ‌ۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡڪِتَـٰبِ لَكَانَ خَيۡرً۬ا لَّهُم‌ۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَڪۡثَرُهُمُ ٱلۡفَـٰسِقُونَ
Bermaksud:
“Kamu adalah umat yang terbaik yang telah dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah.” (Surah al-Imran, ayat 110)

Dimaksudkan umat terbaik menurut Abul Khairi Al-Latifi dalam bukunya ‘Keruntuhan Martabat Umat Islam’ ialah,
“.... individu-individu dalam umat ini memberi manfaat kepada individu lain”. Maknanya masing-masing saling nasihat-menasihati dan menjalankan amar makruf nahi mungkar ikhlas semata-mata kerana Allah.

 Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,
Dalam usaha menerapkan nilai murni dalam masyarakat, Islam memberi garis panduan cukup sistematik dan terbaik untuk diteladani. Jika berlaku perbuatan maksiat, maka hendaklah dicegah dan dihalang mengikut ukuran kemampuan masing-masing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa di antara kalian melihat perbuatan mungkar, maka cegahlah perbuatan itu dengan tangannya (kekuasaan), apabila ternyata ia tidak mampu maka cegahlah dengan lisan (nasihat atau larangan) dan apabila masih juga tidak mampu, maka hatinya harus mengingkari perbuatan itu, tetapi terakhir ini adalah termasuk orang yang lemah imannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Dr Afif Abdullah Fattah Thabbarah dalam bukunya Dosa Dalam Pandangan Islam menyatakan:
Mendiamkan perbuatan mungkar bererti ikut berdosa, dan dosanya akan dipikul oleh semua anggota masyarakat, kerana berdiam diri bererti merestui perbuatan itu.”

            Di samping mencegah, agama Islam juga menunjukkan cara bagaimana sebaik-baiknya manusia menyeru manusia lain (masyarakat/kaumnya) ke jalan yang diredai Allah.

Firman Allah S.W.T.
ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ
Bermaksud:
“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu, dengan hikmah dan nasihat yang baik dan berdebatlah (berbincang) dengan mereka secara yang baik.” (Surah an-Nahl, ayat 125)
            Allah menunjukkan tiga cara berdakwah yang perlu sekali dihayati, iaitu menyampaikan dakwah dengan hikmah. Seterusnya memberi nasihat yang baik dan apabila berbincang dengan cara yang terhormat, baik terhadap orang Islam sendiri mahupun bukan Islam

Sidang Jumaat yang dimuliakan oleh Allah,
Sesungguhnya masyarakat yang tidak menjalankan amar makruf nahi mungkar sebagai satu kewajipan, maka akan dilaknat Allah. Kisah kaum yang dilaknati Allah banyak diceritakan dalam al-Quran.
          
Mengikut Imam Ghazali, apabila masyarakat sunyi daripada amar makruf nahi mungkar akan terkeluar daripada kelompok orang mukmin. Mengulas ayat 71, surah at-Taubah, Firman Allah S.W.T.
 وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَـٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٍ۬‌ۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُونَ ٱلزَّكَوٰةَ وَيُطِيعُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ سَيَرۡحَمُهُمُ ٱللَّهُ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيم۬
Maksudnya:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana
Kemudian beliau mengulas dengan mengatakan:
“Apakah anda belum memahami ayat ini? Ayat itu mengatakan bahawa siapa saja yang tidak mahu menjalankan amar makruf nahi mungkar, bererti ia telah keluar daripada golongan orang beriman. Oleh kerana perbuatan amar makruf nahi mungkar adalah ciri khas dan sifat umat Islam.”
Rasulullah SAW pernah menegaskan yang bermaksud:
“Suatu kaum yang melakukan perbuatan maksiat, kemudian mereka tidak mahu mencegahnya padahal mereka mampu bertindak, maka Allah pasti akan menurunkan seksa-Nya kepada mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Jemaah Solat Jumaat yang dirahmati Allah s.w.tImam Ali as. menekankan bahawa jihad memiliki banyak cabang, salah satunya adalah amar makruf nahi munkar, dan bahawa jihad memiliki perbagai tahapan, salah satunya ialah seseorang yang hatinya menolak kemungkaran, lisannya memerintahkan kebajikan dan melarang keburukan, kemudian ia berusaha untuk menahan perilaku buruk selainnya dengan tangan dan tindakan, maka ia termasuk golongan yang telah sampai pada derajah tertinggi jihad, kerana jihad di jalan Allah meliputi amar makruf nahi munkar, dan yang belakangan ini merupakan salah satu bahagian dari jihad yang bertahap-tahap. Tentunya, tahapan yang lebih tinggi memiliki keutamaan lebih berbanding dengan tahapan-tahapan di bawahnya.

Akhirnya, marilah kita merenung sejenak dan semak salah satu kata mutiara Imam Ali as: “Jihad di jalan Allah melalui amar makruf nahi munkar ibarat air ludah di tengah gelombang samudra". Inilah perbandingan indah antara jihad lembut dan jihad tegas. Keduanya dalam kategori jihad, hanya yang satu lebih utama berbanding yang lain

Wallahu ‘Alam