Tuesday 11 June 2013



 HIMPUNAN  KHUTBAH JUMAAT
DIKARANG OLEH:
DR. RAFIUDDIN AFKARI HJ. ABDUL FATTAH
TAJUK: IMAN YANG KUKUH




Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Bertaqwalah kita kepada Allah s.w.t. Marilah tingkatkan iman dan taqwa padaNya dengan kita mengerjakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang. Semoga Allah s.w.t melimpahkan kurnia dan kasih sayang dalam usaha membentuk jiwa dan keimanan kita. Amin Ya Rabbal A’lamin.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan semesta Alam yang telah mengekalkan kita dalam nikmat Iman dan Islam.

Ibadah yang berterusan dan Istiqamah merupakan cara untuk kita terus menghidupkan hati ini. Seorang mukmin akan meletakkan masa untuk dirinya mengamalkan ibadah demi menyuburkan hati serta mendekatkan diri pada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Beginilah yang seharusnya ada dalam kehidupan seorang mukmin. Seorang mukmin tidak hanya berusaha untuk kemajuannya di dunia ini sahaja. Bahkan seorang mukmin amat mengambil berat akan ikatan dirinya dengan Allah s.w.t. Hal ini sesuai dengan firman Allah S.W.T dalam surah an-Nisa: 131

إِذۡ قَالَ لَهُ ۥ رَبُّهُ ۥۤ أَسۡلِمۡ‌ۖ قَالَ أَسۡلَمۡتُ لِرَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ


Maksudnya: (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: Berserah dirilah (kepadaKu wahai Ibrahim)! Nabi Ibrahim menjawab: Aku berserah diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Inilah dia kesedaran keimanan. Kesedaran yang membawa kita kejayaan di dunia dan di akhirat. Mulalah dengan kesedaran ini. Susuli pula dengan mencari ilmu dan berusaha untuk mengamalkannya. Semoga Allah memberikan nilai-nilai murni hasil dari Iman yang kukuh.

Persoalannya di sini sidang Jumaat yang dirahmati sekalian, Apakah dia nilai-nilai hasil dari Iman yang kukuh? Apakah dia natijah yang akan membentuk jiwa kita ini? Yang pastinya ganjaran Allah bagi orang yang beriman adalah Syurga akan tetapi apakah nilai-nilai yang akan memastikan tempat kita di Syurga?

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah.
Marilah kita renungkan firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah Ayat 260:

وَإِذۡ قَالَ إِبۡرَٲهِـۧمُ رَبِّ أَرِنِى ڪَيۡفَ تُحۡىِ ٱلۡمَوۡتَىٰ‌ۖ قَالَ أَوَلَمۡ تُؤۡمِن‌ۖ قَالَ بَلَىٰ وَلَـٰكِن لِّيَطۡمَٮِٕنَّ قَلۡبِى‌ۖ

Maksudnya: “Dan telah berkata Nabi Ibrahim Ya Tuhan Tunjukkanlah aku bagaimana Engkau menghidupkan yang mati. Allah berkata: Apakah Engkau tidak percaya: Nabi Ibrahim menjawab: Bahkan agar hatiku menjadi tenang”

Beginilah keimanan yang ada pada Nabi Ibrahim a.s. Keimanan yang dimilikinya membuahkan hasil keyakinan. Dengan keyakinan inilah timbul ketenangan dalam jiwa.

Inilah Nilai pertama hasil dari iman yang kukuh. Iman yang teguh menghasilkan keyakinan yang penuh. Keyakinan yang penuh pula akan menimbulkan ketenangan yang menyeluruh.

Orang yang tenang jiwanya tidak akan rasa bimbang dan rasa takut akan urusan dunianya. Malah dengan ketenangan yang dimiliki, seseorang mukmin akan lebih kuat dan yakin dalam mengharungi cabaran dan dugaan di dunia ini. Bahkan merekalah orang-orang yang akan pulang pada Allah s.w.t dengan penuh ketenangan dan diredhai oleh Allah.


Sepertimana dalam firman Allah dalam surah Al-Fajr Ayat 27- 28

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ (٢٧) ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬ (٢٨)


Maksudnya: Wahai orang yang mempunyai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati  lagi diredhai oleh Tuhanmu. Maka Masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia .Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Nilai kedua yang akan kita rasakan ialah ketegasan dan keteguhan hati dalam melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan RasulNya.
Maksud dari tegas dalam agama ialah berpegang teguh dengannya serta bersedia membelanya. Berani atas nama kebenaran. Sifat ini akan terpancar hanya dalam diri seorang mukmin yang kukuh imannya, kuat amal ibadahnya, dan mantap ilmu pengetahuan agamanya.
Sifat ini telah disebut di dalam firman Allah dalam surah Al Maidah Ayat 54:

يُجَـٰهِدُونَ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا يَخَافُونَ لَوۡمَةَ لَآٮِٕمٍ۬‌ۚ

Maksudnya: “Mereka berjihad (membela) di jalan Allah dan mereka tiada gentar celaan orang yang suka mencela”

Begitulah sifat orang yang kukuh imannya. Perintah Allah merupakan dasar dalam menjalankan kehidupan di dunia ini. Misal yang masyhur dalam hal ini adalah Sayidina Umar r.a. Beliau adalah orang yang amat tegas dalam menjalankan perintah Allah s.w.t. Beliau dijadikan contoh dalam keadilan. Beliau berdiri atas kebenaran terhadap rakan ataupun lawan.

Begitu pula dalam surah an-Nisa ayat 129 disebutkan ciri orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T ialah orang yang membersihkan hatinya dengan mengingati kebesaran Allah dengan memperbanyakkan membaca al-Quran,





hal ini sesuai dengan firman Allah S.W.T.

رَبَّنَا وَٱبۡعَثۡ فِيهِمۡ رَسُولاً۬ مِّنۡہُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡہِمۡ ءَايَـٰتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَـٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَيُزَكِّيہِمۡ‌ۚ إِنَّكَ أَنتَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ (١٢٩)
Maksudnya: Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayatMu (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (Al-Quran) serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah. (An-Nisa: 129)

Ciri yang terakhir ialah berhati lunak dalam pergaulan. Dengan keimanan yang kukuh tidak akan menjadikan seseorang itu lebih ganas atau keterlaluan ataupun melampau batas.
Iman merupakan punca bagi sifat-sifat yang murni. Seorang mukmin terhias di dalam dirinya sifat belas-kasihan, cinta dan sayang sesama muslimin dan mereka juga adalah rahmat serta contoh bagi umat sejagat.

Dengan sifat-sifat inilah Allah s.w.t telah memuji Rasulullah s.a.w di dalam firmannya yang bermaksud:

 “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri  yang menjadi merasa susah akan sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat menginginkan kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah
Inilah nilai-nilai yang telah dinyatakan oleh Imam Ali r.a. Iman yang kukuh akan meghasilkan tiga perkara ini 1) Hati yang bersih dan berkeyakinan tinggi 2) Hati yang tegas dengan kebenaran 3) Hati yang lunak dalam pergaulan.

Marilah kita terus berusaha demi untuk mempertingkatkan diri kita. Berusahalah bersungguh-sungguh demi untuk mendapatkan kejayaan di dunia ini. Dalam masa yang sama kuatkan dan bersihkan hati kita ini dengan iman, ilmu dan amal.
Ingatlah proses pemurnian hati tidak boleh berhenti. Ia merupakan proses yang berterusan. Sikap yang perlu ada dalam usaha kita memurnikan hati adalah Bimbang dan Harapan.
Bimbang akan segala usaha yang dilakukan mungkin tidak dipandang Allah. Dalam masa yang sama kita berharap pada Allah agar segala yang kita lakukan ini diberikan ganjaran yang setimpal. Semoga dengan sikap ini kita akan terus berusaha untuk memurnikan jiwa dan menyucikan hati. Semoga Allah s.w.t menggolongkan kita dalam golongan orang yang berjaya Amin ya Rabbal A’lamin.


No comments:

Post a Comment